


Assalamualaikum rakan-rakan i.hi hi hi
Okayh okayh.thanx for coming to this blog.
Oh yeah. Alright as I promised before. Today I nak post pasal wawancara esklusif I dengan Dr. Asri Zainul Abidin.macam i penah cerita kat post i before this kan.
boleh click di sini
Actually, wawancara ini patot keluar kat paper Berita Kampus USM, tapi Ketua Pengarang tak nak pulak.
Itsssssssssssssssssssssssssssss okay! I tak kesah pon! T.T
Tapi at least masuk dalam majalah I.
Okay for your info, majalah I nih ialah salah satu komponen wajib untuk Final Year Project i.
So, dalam ini jer lah orang boleh baca wawancara I dengan Dr. Asri.
Tetapi, memandangkan majalah ini hanya untuk tatapan lecturer I, and I pon ada blog, so boleh laa I share dengan Korang kan!
Okay.tak mau cakap banyak.nikmatilah pandangan-pandangan Dr.Asri ini yer.
Read it.feel it.get on with it.
Wait wait. I hope lepas anda baca wawancara ini, anda sedarlah siapa Dr. Asri ini.bukan seperti yang dituduh sebagai Wahabi dan cuba membawa dakyah yang merosakkan.
And wawancara ini sudah tentu telah di-edit untuk memudahkan you alls faham apa yang cuba disampaikan oleh Dr. Asri.
Enjoyyyyyyyyyyyyyyy~
***
Prof. Madya Dr.Asri Zainul Abidin, satu nama yang tidak asing lagi. Bekas Mufti Perlis yang sering mencetuskan kontroversi ini terus berani dalam menyuarakan pendapatnya tanpa perasaan gentar selagi mana ia adalah benar dan berdasarkan prinsip Islam. Beliau mempunyai aura tersendiri, pendapat-pendapat beliau yang kritis sering menarik perhatian pihak media khususnya dalam mengulas sesuatu isu.
Dalam wawancara esklusif bersama wartawan Langkau!, RAQIB SOFIAN DAN ZULAIKHA ZULKIFLI, beliau bagaimanapun menegaskan bahawa usaha dakwah serta kelantangannya dalam menyuarakan pendapat hanyalah tanggungjawab beliau sebagai ahli akademik dan berdasarkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Wartawan kami juga sempat menemuramah tentang latar belakang beliau seta isu-isu terkini yang melanda negara Malaysia.
Terima kasih Dr. Asri kerana sudi untuk ditemuramah. Boleh Dr. Asri cerita serba sedikit tentang latar belakang Dr?
Saya manusia biasa macam orang lain juga (sambil tersenyum).Ya, sebenarnya saya berasal daripada keluarga yang sederhana. Namun, saya rasa saya ada satu kelebihan iaitu ibu bapa saya sangat mementingkan pelajaran anak-anak. Saya masih ingat semasa masih kecil, walaupun kehidupan kami sangat sederhana, ibu saya selalu sediakan yg terbaik untuk saya pada zaman itu. Pakaian saya tidak pernah kotor walaupun saya tahu pendapatan kami sangat rendah pada ketika itu. Mereka juga memastikan saya ke sekolah walaupun kampung saya rata-ratanya tidak terlalu mementingkan pelajaran pendidikan pada ketika itu. Kemudian, Alhamdullilah Allah beri kecederungan kepada saya untuk minat membaca. Semasa di sekolah menengah, saya sering menghabiskan masa di perpustakaan dan saya sangat suka mendengar perbahasan ilmu yang mendalam serta membahas sesuatu isu dengan kritis.
Pada pendapat Dr, apakah faktor yang mendorong Dr untuk berjaya seperti sekarang?
Semasa kecil lagi, bapa saya seorang yang tegas dalam hal-hal agama. Solat,puasa, amanah, tidak mengambil harta org dan lain-lain sangat dititik beratkan. Bagi saya, peranan ibu bapa sangat penting. Mereka mungkin tidak tinggi pengetahuan mereka tetapi kehendak kepada kebaikan itu yang harus dipuji. Semasa kecil dahulu, ibu bapa saya tidak membenarkan saya berkeliliaran di kampung. Apabila sudah besar, barulah saya boleh keluar tapi itu pun sangat sukar. Saya bukan dari keluarga yang berada tetapi saya masih ingat pagi baju lain, petang baju lain, malam baju lain. Saya kira ini faktor ibu. Ibu saya sangat berdisiplin sehinggakan jika berat saya bertambah sedikit, dia tetap menegur mengenai berat saya.(ketawa)
Kami difahamkan Dr. Asri adalah seorang pakar dalam bidang hadith. Bagaimana Dr. mula berjinak-jinak dalam bidang ini sehingga menjadi seorang pakar yang boleh dijadikan rujukan.
Saya mula minat membaca tentang rawi-rawi hadith sejak membaca buku Maulana Asri Yusof yang berjudul “Syiah Rafidah” yang membahaskan rawi-rawi yang menjawab persoalan Syiah. Ketika menyambung pelajaran ke Jordan, saya mengambil kursus bahasa dan syariah. Saya bukan pelajar rajin mengulang kaji, tapi saya gemar mendengar diskusi-diskusi ilmu di masjid-masjid dan sebagainya. Kemudian, sekembalinya saya ke Malaysia, saya mula menulis tentang rawi-rawi dan sejarah sahabat dan seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sains Malaysia (USM).
Dr.Asri dikenali sebagai seorang ilmuan yang mempelopori pemikiran tajdid dan sering mengeluarkan pandangan yang neutral. Apakah yang mendorong Dr.Asri untuk berpandangan sedemikian?
Pertama, sebagai Muslim kita tidak boleh membuat keputusan berdasarkan emosi atau unsur-unsur fanatik. Sebaliknya, ia perlu berdasarkan ilmu atau pemahaman mengenai sesuatu isu. Perkara ini yang dimaksudkan dalam al-Quran iaitu “ulul albab” iaitu orang- orang yang mendengar ucapan, mengikut teladan yang baik dan mempunyai minda dan akal yang matang. Fanatik atau sifat yang berpihak sehingga tidak menghiraukan pihak lain adalah sesuatu yang dilarang dalam agama. Jadi, larasan ini saya jadikan sebagai panduan kepada ahli akademik agar lebih berdisiplin. Kita perlu ajar orang ramai untuk cara mendengar, memahami serta menilai dan membuat keputusan yang telus.
Suatu ketika dahulu, Dr. Asri pernah menyandang jawatan sebagai Mufti Negeri Perlis selama dua tahun. Apakah faktor yang mendorong Dr. untuk menerima tanggungjawab yang begitu besar pada usia yang muda?
Ketika diberitahu tentang tawaran tersebut, saya minta sedikit tempoh untuk memikirkannya dahulu kerana saya baru bekerja sebagai pensyarah di USM. Namun, di hati kecil ini, saya terfikir untuk membuat suatu kelainan sekiranya saya memegang jawatan tersebut. Kelainan yang saya maksudkan adalah memberi padangan dari perspektif berbeza dengan mufti-mufti negeri lain. Akhirnya, saya menerima tawaran tersebut dengan azam dan semangat untuk berkhidmat ke jalan Allah. Alhamdullilah, sehingga kini orang masih ingat saya sebagai mufti. Dengan bantuan Allah, saya dapat menyebarkan beberapa pandangan baru di Malaysia. Oleh itu, saya berharap agar generasi baru dapat menyambung perjuangan saya sekiranya saya sudah tiada nanti.
Semestinya, tugas seorang mufti itu tidak semudah yang disangka. Apakah cabaran-cabaran yang dihadapi Dr. sepanjang memegang jawatan tersebut?
Saya akui, saya pernah dimasukkan ke dalam Majlis Fatwa yang berperanan seperti mahkamah. Perkara ini terjadi disebabkan isu yang saya timbulkan mengenai bin orang yang baru memeluk Islam tidak perlu diubah kepada ‘Abdullah’. Pihak berwajib kemudian mengadakan undian, perbuatan ini seolah-olah ‘main-main’ dan bukan berbincang untuk menyelesaikan masalah tersebut. Walau bagaimanapun, saya tidak berkecil hati atau berdendam kerana mereka hanya menjalankan tugas.
Selain itu, disebabkan pandangan saya ini kadang kala mencabar insititusi yg sedia ada, terdapat beberapa jabatan mufti menghalang saya daripada memasuki negeri tertentu. Meskipun, saya dipulaukan oleh beberapa negeri namun saya agak rapat dengan orang-orang berpengaruh. Saya sering berjumpa dengan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Malah, saya pernah menyampaikan ceramah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan barisan kepimpinan kerajaan yang lain. Ertinya, cabaran tetap wujud dalam semua perkara tetapi cabaran ini tidak menghalang saya untuk tetap memperkata perkara yg benar.
Bagaimanakah Dr memperoleh keberanian dalam menegakkan pendirian Dr. ketika terdapat tentangan hebat daripada pihak lain?
Perjuangan saya hanya kerana Allah. Saya tidak mendapat sebarang insentif sekiranya perjuangan saya ini berjaya selain mengharapkan keredhaan daripadaNya. Sekurang-kurangnya orang muda sekarang boleh berfikir dengan lebih mendalam berdasarkan hujah-hujah tertentu. Oleh itu, justifikasi terhadap sesuatu perkara berkaitan dengan agama itu perlu disertakan untuk menyokong hujah-hujah yang menerangkan hal-hal berkaitan Islam.
Dr.Asri, jika kita lihat, media sekarang begitu gemar mempolitikkan isu agama, sebagai contoh isu Ahli Parlimen Serdang, YB Teo Nie Ching berkenaan bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ke dalam masjid dan sebagainya. Apa komen Dr. Asri mengenai isu ini?
Perkara ini adalah lumrah dalam dunia politik. Sejarah membuktikan kejadian ini telah dilakukan oleh ahli-ahli politik tidak kira agama Yahudi, Kristian, Islam dan agama-agama lain. Hal ini demikian disebabkan, agama mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Ahli-ahli politk ingin meluaskan pengaruh kerana masyarakat Malaysia sekarang begitu berminat tentang hal-hal berkaitan agama. Elemen ini cuba dikupas dan diinterpretasi untuk menyokong kehendak politik. Bagi saya perkara seumpama ini adalah bahaya. Merujuk kepada sejarah lepas, ulama’ cuba mengelakkan diri daripada ahli-ahli politik kerana mereka tahu mereka akan cuba menggunakan unsur ini. Sedangkan agama itu perlu berdiri dengan tegas untuk menegakkan kebenaran serta memperbetul kesilapan tanpa pengaruh politik. Agama sentiasa menjadi pihak yang adil sama ada dari segi aliran politik, mazhab hatta juga dalam urusan antara agama.
Jadi Dr, apakah langkah yang perlu diambil oleh masyarakat atau ahli akademik untuk membendung perkara tersebut. Seterusnya apa jalan penyelesaian untuk mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh dengan permainan media ini?
Saya sedar isu agama yang cuba dimainkan oleh sesetengah media telah mengheret media tersebut itu ke belakang walaupun sebelum ini mereka cuba menjuarai isu-isu yang berkaitan agama. Mereka cuba membawa pemahaman yang jumud dan menjadikan isu-isu agama sebagai konservatif dan ekslusif hanya untuk satu golongan. Isu sebegini juga ditimbulkan bertujuan untuk membangkitkan isu perkauman. Perkara ini sangat bahaya dan bakal menyumbang ke arah kehancuran negara dan agama Islam akan dianggap sebagai elemen pemusnah dan bukan penyatuan.
Harapan sebenarnya perlu diletakkan pada bahu muda-mudi dan siswa-siswi universiti. Oleh sebab itu, saya tidak gemar akan persatuan penyokong parti yang fanatik. Kita sepatutnya lebih cenderung kepada program ilmiah dan menjurus kepada diskusi. Tujuan utama adalah untuk mendidik orang-orang muda ini untuk berfikiran terbuka dan menjadi pelajar-pelajar yang berpengetahuan luas.
Akhir sekali Dr, walaupun Dr telah berulang kali menafikan Dr. adalah seorang yang berfahaman Wahabi namun masih terdapat dakwaan yang mengaitkan Dr. dengan fahaman tersebut. Apa komen Dr ?
Gelaran ini adalah senjata terakhir yang boleh digunakan oleh ‘pihak sebelah sana’. Kalau kita lihat seperti ulama tersohor, Dr. Yusof Al-Qardhawi juga pernah digelar Wahabi. Wahabi diberikan takrifan kepada mereka yang berbeza pandangannya dengan apa yang biasa difahami oleh golongan agama yg sedia ada. Menteri Besar Kelantan sendiri, Datuk Seri Nik Aziz pernah digelar Wahabi. Wahabi adalah satu istilah yang boleh digunakan untuk mendapat perhatian pihak lain untuk melawan. Mereka yang mendakwa orang lain Wahabi ini sendiri tidak tahu maksud sebenar Wahabi itu. Bagi mereka, siapa yang memberi pandangan yang berbeza sahaja, mereka digelar Wahabi!